Alaioli
Sindiket pemalsuan dokumen pekerja asing lumpuh, dalang utama warga Nepal turut dicekup Imigresen

By S.KUMARA

PUTRAJAYA - Kegiatan licik sindiket pemalsuan dokumen pekerja asing yang dipercayai mengaut keuntungan sehingga mencecah RM100 juta sejak tujuh tahun lalu akhirnya terbongkar.


Sindiket itu berjaya ditumpaskan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melalui serbuan Ops Serkap di enam lokasi sekitar Kuala Lumpur pada 13 dan 14 April lalu.


Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya menerusi serbuan itu berjaya menahan sembilan individu berusia antara 26 hingga 61 tahun, termasuk seorang wanita warga Vietnam yang merupakan pengarah syarikat.


“Kesemua individu yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki warga Nepal, tiga lelaki warga India, seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki tempatan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat pada Rabu.


Tambah beliau, serbuan itu dilaksanakan hasil risikan selama enam bulan selain maklumat serta aduan yang diterima Imigresen mengenai aktiviti sindiket tersebut.


Jelasnya lagi, dalam serbuan sama pihaknya turut berjaya menemui dokumen imigresen seperti e-pass dan pelekat keselamatan yang telah diubah suai untuk digunakan syarikat terbabit bagi mengaburi pihak berkuasa.


“Antara barangan yang dirampas ialah 111 pasport pelbagai negara, 10 komputer riba, enam telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM3,950.


"Selain itu, sebanyak enam Notis Kepada Saksi (Borang 29) turut dikeluarkan bagi membantu siasatan lanjut Imigresen dalam kes ini.


"Pasukan kami juga memintas sebuah kenderaan jenis Nissan Sentra yang dinaiki suspek utama yang dipercayai cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan.


“Suspek utama dikenali sebagai MJ merupakan seorang lelaki warga Nepal berusia 43 tahun dan siasatan mendapati dia pernah ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism (E8) Bukit Aman pada 2016,” tegasnya lagi. - Alaiolinews

Leave a Comment