Alaioli
Piala Thomas 2026: Malaysia 'kuda hitam' di Denmark, kata Zii Jia

By Sukan Allaioli

KUALA LUMPUR - Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia melihat Malaysia sebagai pasukan yang berpotensi mencipta kejutan pada saingan Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini.


Pemain berusia 28 tahun yang merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu berkata, status tersebut memberi kelebihan tersendiri kepada skuad negara yang dilihat berpeluang untuk melangkah jauh, jika setiap pemain memainkan peranan masing-masing dengan baik.


"Tentunya pada saya pasukan Malaysia ialah ‘dark horse’. Peluang memang ada, tetapi untuk diri saya sendiri saya tidak meletakkan jangkaan terlalu tinggi. Hanya cuba melakukan apa yang perlu saya lakukan sebagai pemain perseorangan ketiga.


"Jadi kalau saya dapat main (memang) akan bermati-matian, tentunya ia amat penting (dan juga) semua yang bermain memang mempunyai peranan sangat penting dalam pasukan. Jadi saya rasa tak kira siapa yang bermain, saya akan bermain sebaiknya,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini pada Selasa.


Skuad negara semalam berkumpul di ABM, sebelum berlepas ke Herning untuk melakukan kem latihan berpusat untuk kejohanan berprestij itu hujung bulan ini dalam usaha memburu kejuaraan yang kali terakhir dimenangi pada 1992.


"Memang gembira boleh dapat terpilih untuk Piala Thomas sekali lagi terutamanya dalam keadaan prestasi kebelakangan ini pun tak bagus. (Jadi) terima kasih BAM kerana percaya dengan saya,” tegasnya.

Leave a Comment