Alaioli
Bekas pengarah pusat pendidikan IPTA bergelar Datuk dicekup SPRM, disyaki salah guna RM1 juta

By S.KUMARA 

PUTRAJAYA -  Seorang bekas pengarah pusat pendidikan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bergelar Datuk ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menyalahgunakan kedudukan dengan menggunakan wang berjumlah kira-kira RM1 juta bagi tujuan peribadi.

SPRM telah menghadapkan lelaki berusia lingkungan 60-an itu ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi Rabu dan dia kini direman selama lima hari sehingga 19 April ini untuk membantu siasatan lanjut.

Sumber memberitahu, suspek telah ditahan kira-kira jam 8 malam pada Selasa ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2023 hingga 2025 dan ketika itu dia menjawat jawatan sebagai Pengarah IPTA terbabit.

“Suspek dipercayai mempunyai kepentingan di dalam sebuah syarikat yang terlibat secara langsung dengan pusat pendidikan terbabit dan menggunakan wang tersebut untuk kepentingan peribadi,” kata sumber tersebut.

Sumber juga menambah bahawa, susulan daripada siasatan tersebut SPRM telah membekukan empat akaun bank iaitu satu akaun syarikat dan tiga akaun individu yang berjumlah keseluruhan kira-kira RM600,000.

Dalam pada itu,  Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan individu tersebut.

Beliau juga memaklumkan bahawa kes sedang disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

\"Siasatan menjurus kepada siasatan jenayah dan tatakelola,\" tegasnya lagi.- Alaiolinews

Leave a Comment
Trending News