Alaioli
Lans Koperal cedera diserang lelaki bersenjata parang semasa serbuan dadah

By S.KUMARA

MELAKA - Seorang Lans Koperal tercedera selepas diserang lelaki bersenjatakan parang ketika melakukan serbuan dadah di Tanjung Kling, di sini dalam kejadian pada Khamis lalu.


Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, insiden berlaku kira-kira pukul 9 malam ketika sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menjalankan serbuan hasil risikan mereka.


“Semasa serbuan di kawasan Tanjung Kling, seorang suspek lelaki tiba-tiba bertindak agresif.


“Lelaki berusia 31 tahun itu mengugut serta menyerang anggota menggunakan parang sebelum cuba melarikan diri, namun suspek berjaya ditahan tidak lama kemudian untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita pada Rabu.


Tambah beliau, seorang anggota berpangkat Lans Koperal mengalami kecederaan ringan iaitu bengkak pada ibu jari tangan kiri akibat serangan tersebut.


Rentetan insiden itu katanya, suspek akan dituduh di Mahkamah Melaka, Ayer Keroh hari ini atas enam pertuduhan bagi kesalahan di bawah Seksyen 324, 506, dan 186 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, melakukan ugutan jenayah, serta menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas.


“Lelaki itu juga akan berdepan pertuduhan lebih berat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.


"Suspek juga akan didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana membawa atau memiliki senjata berbahaya di tempat awam,” tegasnya lagi.- Alaiolinews

Leave a Comment