Alaioli
Tiga termasuk Timbalan Pengerusi NGO ditahan SPRM kes seleweng dana zakat RM230 juta

By Ilamparithi

SHAH ALAM - Tiga individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa selepas disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.

Sumber berkata, dua suspek lelaki berusia lingkungan 50 dan 60-an telah berjaya ditahan antara jam 3 dan 5 petang dalam operasi yang dijalankan SPRM Selangor di Lembah Klang.

Katanya, seorang lagi suspek berusia lingkungan 50-an pula ditahan pada jam 2 petang semasa hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor.

“Siasatan awal mendapati, kesemua suspek yang juga dua daripadanya merupakan pengarah syarikat disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2018 hingga 2024.

“Siasatan turut mendapati timbalan pengerusi NGO tersebut telah memindahkan RM230 juta tersebut ke dalam akaun syarikatnya bagi tujuan pelaburan dan peribadi,” katanya di sini.

Tambah sumber lagi, siasatan kini menjurus kepada elemen penyelewengan dana awam memandangkan NGO tersebut merupakan sebuah pertubuhan yang menerima sumbangan orang ramai bagi tujuan membantu golongan yang memerlukan.

Justeru katanya, dalam operasi sama, SPRM turut berjaya melakukan sitaan terhadap 18 unit kenderaan mewah antaranya Porsche dan Mercedes.

"Selain itu, hartanah bernilai kira-kira RM11 juta, pelbagai harta alih lain termasuk wang tunai dan jam tangan berjenama turut disita dan sebanyak 33 akaun bank berjumlah kira-kira RM120 juta turut dibekukan untuk tindakan lanjut," tegasnya lagi.

Dalam pada itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009.

"Kesemua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor esok (Rabu) untuk permohonan reman," ujar beliau.- Alaiolinews

Leave a Comment
Trending News