Alaioli
Lelaki rentung dalam insiden lima rumah teres terbakar di Kepong

By Ilamparithi

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan lima rumah teres satu tingkat di Taman Ehsan, Kepong, di sini awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.31 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi kira-kira 19 minit kemudian.

“Seorang lelaki berusia 53 tahun ditemukan rentung di atas katil di dalam sebuah bilik tidur.

“Kebakaran melibatkan lima rumah teres dengan tahap kemusnahan antara 20 hingga 100 peratus.

“Kebakaran turut memusnahkan dua kenderaan iaitu sebuah Hyundai Getz dan Hyundai XG 250 yang terbakar sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan Khamis.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, operasi pemadaman melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dengan bantuan BBP Rawang, Jinjang dan Manjalara.

“Api berjaya dikawal pada pukul 3.42 pagi sebelum dipadam sepenuhnya pada 7.15 pagi dan kerja-kerja ‘overhaul’ masih dijalankan,” katanya.- Alaiolinews

Leave a Comment
Trending News