Alaioli
Polis buru suspek bakar dua kenderaan di perumahan di Klang

SHAH ALAM - Polis sedang mengesan suspek disyaki terlibat dalam kejadian khianat dengan membakar dua kenderaan milik seorang pengimpal di sebuah kawasan perumahan di Kapar, Klang, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, dalam kejadian jam 12.12 tengah malam itu mangsa berusia 55 tahun menyedari kejadian berkenaan setelah terdengar bunyi letupan, sebelum mendapati keretanya dijilat api.

"Api bagaimanapun berjaya dipadamkan sepenuhnya dengan bantuan jiran. Kejadian ini mengakibatkan kedua-dua kenderaan mengalami kesan terbakar sebanyak 30 peratus.

"Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati empat lelaki menaiki dua motosikal telah memecahkan cermin kenderaan dan menyimbah minyak petrol, sebelum membakar kedua-dua kenderaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Vijaya turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, selain mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara menerusi talian 03-3291 2222 bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.- Alaiolinews


Leave a Comment
Trending News