Alaioli
AKPS perlu dilengkapi senjata api, jaket kalis peluru tingkat keselamatan

Oleh S.KUMARA

BUKIT KAYU HITAM - Insiden tembakan ke atas Komander AKPS Bukit Kayu Hitam pada awal pagi Rabu oleh individu tidak dikenali diambil serius dan aspek keselamatan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam tidak boleh dipandang ringan.


Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kehadiran agensi itu yang baru berusia 14 bulan ternyata memberi impak terhadap aspek penguatkuasaan termasuk operasi bersepadu dijalankan AKPS Bukit Kayu Hitam pada 15 Januari hingga 15 Februari lalu.


Katanya, rampasan bernilai RM3.1 juta yang dihasilkan hanya di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam itu mungkin telah memberi tekanan kepada pihak yang melanggar undang-undang.


"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seawal pagi tadi lagi telah menghubungi saya dan beritahu apa yang diperlukan oleh AKPS maklumkan kepada beliau untuk beliau usahakan.


"Maka, antara perkara yang kita lihat di sini adalah pegawai-pegawai AKPS tidak dibekalkan senjata api, itu satu skop yang mungkin boleh diperbaiki dalam masa terdekat dan juga jaket kalis peluru serta kelengkapan yang boleh menjamin keselamatan anak buah saya bekerja dengan lebih selamat,” katanya selepas bertemu Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir yang nyaris ditembak dua lelaki bermotosikal berhampiran Masjid Al-Muhajirin, pagi ini.


Beliau turut mengadakan pertemuan tertutup dengan seluruh warga AKPS Bukit Kayu Hitam susulan insiden pertama yang menimpa agensi penguatkuasaan tersebut.


Justeru katanya, peringatan juga telah diberikan kira-kira empat minggu lalu kepada semua komander AKPS tentang beberapa ancaman dan ugutan jenayah terhadap pegawai dan anggotanya.


"Kita ambil itu sebagai satu perkara yang perlu diberi perhatian dan pada pagi ini kita tak menjangkakan mereka akan bertindak sehingga ke tahap itu, dengan apa yang berlaku ini juga jelas dan ketara sememangnya ada orang yang betul-betul terjejas dengan penguatkuasaan yang sedang dilakukan," jelasnya lagi.-Alaiolinews

Leave a Comment
Trending News