Alaioli
908 Penduduk DUN Tenggaroh Terima Bantuan Kasih Johor, Syukur Peroleh Inisiatif Kerajaan Negeri

oleh MAAHGESHAN 

MERSING, 6 Mac 2026 – Kerajaan Negeri Johor menerusi inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) terus memperkasakan agenda kebajikan rakyat dengan menyalurkan peruntukan berjumlah RM195,400.00 bagi fasa ketiga bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, hari ini.

 

Majlis penyampaian bantuan tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, YB Raven Kumar Krishnasamy. Kehadiran beliau turut diiringi oleh Pegawai Daerah Mersing, YBhg. Tuan Haji Jamil Hasni bin Abdullah bertempat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Mersing.

 

Seramai 908 penerima yang terdiri daripada pelbagai kategori sasar telah dikenal pasti bagi menerima manfaat tersebut. Antara kumpulan penerima termasuklah warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal, Sukarelawan KEMAS, penggerak masjid, guru Al-Quran serta kakitangan pembersihan SWM Environment.

 

Menurut YB Raven Kumar, inisiatif ini merupakan bukti keprihatinan berterusan pentadbiran di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi. Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa komited dalam memastikan setiap bantuan yang dirancang sampai terus ke tangan golongan yang memerlukan bagi meringankan beban kos sara hidup.

 

\"Semoga bantuan yang disalurkan ini dapat memberikan sedikit kelegaan dan kegembiraan kepada para penerima, sekali gus mencerminkan iltizam Kerajaan Negeri Johor dalam membela nasib Bangsa Johor tanpa mengira latar belakang,\" ujar beliau semasa majlis tersebut.

 

Selain penyampaian bantuan kewangan, program tersebut turut diserikan dengan aktiviti pengagihan juadah berbuka puasa. YB Raven Kumar meluangkan masa menyantuni para penerima dan hadirin bagi mengedarkan juadah tersebut sempena keberkatan bulan Ramadan yang sedang berlangsung.

 

Inisiatif pengagihan makanan ini bertujuan untuk menyemarakkan lagi semangat kebersamaan dan mengeratkan ukhuwah antara barisan kepimpinan negeri dengan masyarakat setempat. Usaha murni ini diharapkan dapat terus membawa keberkatan serta memperkukuh keharmonian komuniti di daerah Mersing khususnya, dan negeri Johor amnya.

Post Image

Leave a Comment
Trending News