Alaioli
LWHNPP Santuni Pesakit Dialisis, Raikan Rekod MBOR dan Lancar Kiosk Digital

Oleh Maahgeshan

20 April 26  GEORGE TOWN – Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (LWHNPP) hari ini menganjurkan majlis tiga serangkai yang memfokuskan kepada kebajikan komuniti, pengiktirafan bakat muda, dan transformasi digital yang berlangsung di Kuil Sri Kunj Bihari (SKBT).

 

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Digital, YB Tuan Gobind Singh Deo. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan kepentingan sinergi antara bantuan sosial dan adaptasi teknologi dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.


Sebagai langkah proaktif membantu golongan kurang berkemampuan, LWHNPP telah menyalurkan bantuan kewangan one-off sebanyak RM1,000 kepada 50 pesakit dialisis. Bantuan ini bertujuan meringankan beban kos rawatan dan peralatan perubatan yang kian meningkat, sekali gus memastikan pesakit terus mendapat akses kepada rawatan yang diperlukan.

 

Suasana majlis turut diselubungi rasa bangga apabila Cik Poonyamitra Kumaresan diraikan atas pencapaian luar biasanya menghafal 300 digit Pi. Kejayaan itu melayakkan beliau menerima pengiktirafan MBOR bagi kategori “Most Pi Digits Recited from Memory by a Teenager”. Sebagai galakan untuk terus cemerlang, pihak LWHNPP telah menganugerahkan sebuah komputer riba dan sijil penghargaan kepada beliau.

 

Sejajar dengan portfolio Kementerian Digital, majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran kiosk pendigitalan di Kuil Sri Kunj Bihari. Inisiatif ini diperkenalkan bagi memodenkan sistem pengurusan kuil agar lebih telus, cekap, dan efisien melalui penggunaan teknologi terkini.

 

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah YB Ramkarpal Singh, YB RSN Rayer (Ahli Parlimen Jelutong), Pengerusi LWHNPP YB Dr. Lingesh RA, Timbalan Pengerusi LWHNPP YB Kumaran Krishnan, serta barisan kepimpinan negeri dan pesuruhjaya LWHNPP.

 

Langkah yang diambil oleh LWHNPP ini membuktikan komitmen berterusan lembaga tersebut dalam menjaga kebajikan penganut Hindu di Pulau Pinang di samping memacu komuniti ke arah masa depan digital yang lebih inklusif.- Alaiolinews

Leave a Comment