Alaioli
Wanita tersepit bawah LRT Stesen Abdullah Hukum diselamatkan

Oleh S.KUMARA

KUALA LUMPUR – Seorang wanita dilaporkan cedera di tangan dan muka selepas tergelincir jatuh ke landasan transit aliran ringan (LRT) stesen Abdullah Hukum petang tadi.


Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.19 petang berkaitan mangsa tersepit.


Katanya, seramai sembilan anggota beserta dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai dikejarkan ke lokasi kejadian.


“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian pada pukul 6.24 petang, didapati seorang wanita berusia 39 tahun jatuh dan tersepit di bawah LRT,” katanya lagi.


Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur turut menambah, mangsa mengalami kecederaan di tangan dan muka berjaya dikeluarkan pada pukul 6.38 petang dan diberi rawatan awal seterusnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya mengesahkan menerima maklumat mengenai insiden tersebut.


“Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah mangsa tergelincir sendiri ketika menunggu LRT,” ujar beliau.


Dalam masa yang sama, Rapid Rail dalam kenyataan juga memaklumkan perkhidmatan tren telah kembali beroperasi seperti biasa.


“Perkhidmatan tren alternatif telah ditamatkan. Waktu menunggu tren akan menjadi sedikit lama sementara kekerapan sedang diselaraskan,” tegasnya.-Alaiolinews

Leave a Comment
Trending News