Alaioli
Pengamal media mohon pengecualian khas dari kerajaan kekalkan kuota 300 liter petrol RON95 sebulan

By S.KUMARA

PETALING JAYA - Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) memohon kerajaan agar mempertimbangkan pengecualian khas kepada pengamal media berdaftar supaya mengekalkan kuota 300 liter petrol RON95 sebulan untuk golongan tersebut.

GKMM berkata, pihaknya menerima banyak keluhan dari pengamal media khususnya di negeri-negeri yang perlu melakukan perjalanan jauh serta berulang-alik ke lokasi liputan setiap hari.

Katanya, ia telah mengakibatkan kuota 200 liter yang diterima golongan itu habis lebih awal sebelum sampai tempoh had berakhir pada setiap hujung bulan.

“Justeru, GKMM meminta supaya kerajaan dapat memberi pengecualian khas kepada mereka yang terdiri daripada wartawan, jurugambar serta juruvideo, untuk terus menerima kuota 300 liter petrol RON95 sepertimana dinikmati mereka sebelum ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

GKMM dalam kenyataan sama menambah bahawa pihaknya menyambut baik usaha dan komitmen kerajaan meneruskan pemberian subsidi bersasar kepada rakyat Malaysia, namun ia menjadi cabaran besar buat pengamal media.

“GKMM juga menyedari peningkatan kos dan belanja subsidi bahan bakar yang ditanggung kerajaan bagi menjamin rakyat terus menikmati harga berpatutan atau lebih rendah, sungguhpun harga pasarannya sudah menyaksikan peningkatkan begitu ketara dalam tempoh tersingkat ini.

“Namun, keputusan kerajaan menghadkan kuota BUDI RON95 kepada 200 liter sebulan berbanding kuota sebelum ini sebanyak 300 liter, mula memberi cabaran besar buat pengamal media dalam menyempurnakan tugasnya di lapangan,” tegas GKMM lagi. - Alaiolinews

Leave a Comment
Trending News