Alaioli
Sindiket kaut untung RM15,000 satu kepala seludup PATI tersungkur, 37 warga Myanmar ditangkap PGA

By S.KUMARA

TUMPAT – Kegiatan kebal sindiket penyeludupan manusia yang mengaut keuntungan sehingga RM15,000 bagi setiap kepala dengan menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) akhirnya terbongkar apabila seramai 37 warga Myanmar berjaya dicekup dalam satu serbuan mengejut yang dijalankan di Kampung Kok Keli di daerah ini pada Khamis.

Serbuan itu dilaksanakan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira pukul 5.30 pagi menerusi Op Taring Wawasan Kelantan sebelum berjaya menahan 27 lelaki dan 10 wanita yang dipercayai baru diseludup masuk ke dalam negara ini melalui laluan haram.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, sindiket berkenaan bergerak secara terancang menggunakan laluan Myanmar-Thailand sebelum menjadikan negara jiran itu sebagai transit utama ke negara ini.

"Kita mendapati setiap PATI dikenakan bayaran sebanyak antara RM10,000 hingga RM15,000 seorang dengan mereka dipindahkan beberapa kali dan ditempatkan di lokasi berasingan sebelum dibawa masuk melalui laluan laut secara haram ke dalam negara kita.

“Sindiket turut menggunakan khidmat rakyat tempatan sebagai pemandu dan kenderaan sewa membawa masuk PATI bagi mengaburi pihak berkuasa .

“Semasa risikan dijalankan, anggota PGA mengesan buah tiga kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70, Mitsubishi Outlander dan Perodua Aruz berada dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menahan kenderaan tersebut,” katanya di sini.

Ahmad Radzi juga memaklumkan bahawa, pemandu ketiga-tiga kenderaan itu bagaimanapun sempat meloloskan diri selepas menyedari operasi PGA dan kini mereka sedang giat diburu untuk tindakan lanjut.

Malah katanya, ketiga-tiga SUV dengan nilai keseluruhan dianggarkan hampir RM225,000 itu dirampas PGA untuk siasatan lanjut dalam kes tersebut.

"Kesemua PATI berkenaan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat untuk membantu siasatan lanjut yang dijalankan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," tegasnya lagi. - Alaiolinews


Leave a Comment
Trending News