Alaioli
PN selar tindakan serbu rumah wartawan, desak kerajaan hormati kebebasan media

By Ilamparithi

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) pada Selasa menggesa kerajaan dan pihak berkuasa untuk menghormati hak serta peranan sah media susulan tindakan polis yang menyerbu kediaman seorang wartawan portal berita terkemuka tempatan seperti dilaporkan pada Isnin.


Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya memandang serius tindakan serbuan ke atas kediaman wartawan Malaysiakini, B Nantha Kumar, yang dipercayai berkaitan laporan mengenai cadangan sistem pengambilan pekerja asing dikenali sebagai \'The Universal Recruitment Advanced Platform\' (TURAP).


Katanya lagi, tindakan yang didakwa melibatkan pemeriksaan selama 45 minit oleh pegawai polis itu dilakukan atas dakwaan pemilikan dokumen rasmi Jemaah Menteri, meskipun dilaporkan tiada sebarang barangan atau dokumen dirampas.


"Perkembangan ini melampaui sosok seorang wartawan atau organisasi media semata-mata.


"Ia menimbulkan kebimbangan yang lebih luas mengenai isu kebebasan media dan ruang untuk wartawan melaporkan isu berkepentingan awam tanpa rasa takut," katanya dalam kenyataan media pada Selasa.


Terdahulu, Nantha memaklumkan dua pegawai polis berpakaian biasa tiba di rumahnya di Seri Serdang pada jam 2.30 petang dengan membawa waran geledah sebelum menggeledah kediamannya.


Siasatan dilaporkan dibuat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan kerana pendedahan maklumat tanpa kebenaran dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Mengulas lanjut, Takiyuddin turut mempersoalkan tindakan kementerian terbabit yang memilih untuk membuat laporan polis berbanding memberikan penjelasan, walaupun portal berkenaan dilaporkan sudah memberi ruang untuk maklum balas.

"Dalam negara demokratik yang matang, respons terhadap laporan media seharusnya mengutamakan penjelasan dan ketelusan, bukannya tindak balas yang boleh dilihat sebagai mengekang penelitian awam yang sah," ujarnya.

Beliau menambah, sektor pengambilan pekerja asing sering dikaitkan dengan isu ketelusan dan kelemahan tadbir urus, maka laporan media mengenai sebarang pembaharuan dalam sektor itu adalah sah dan menuntut penelitian demi kepentingan awam.- Alaiolinews



Leave a Comment
Trending News