Alaioli
Pegawai Kanan Polis ditahan kes rasuah RM64,000 lindungi kegiatan pusat hiburan tidak berlesen

By Ilamparithi

KUANTAN - Seorang pegawai kanan polis ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama lima hari hingga 2 Mei ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah kira-kira RM64,000.

Sumber berkata rasuah itu dipercayai sebagai balasan melindungi kegiatan pusat hiburan tidak sah di sebuah daerah di negeri ini.

Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu dikeluarkan oleh Majistret Ellyna Mahussin di Mahkamah Majistret Kuantan pada Selasa selepas individu itu dihadapkan di mahkamah bagi permohonan perintah reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi.

Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira jam 2 petang Isnin di kediamannya.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara 2020 hingga 2023 ketika bertugas di salah satu daerah di negeri ini.

“Suspek dipercayai menerima wang rasuah secara bulanan daripada dua pemilik pusat hiburan melalui pemindahan ke akaun bank peribadinya,” katanya pada Selasa.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Tegasnya lagi, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.- Alaiolinews

Leave a Comment
Trending News