Alaioli
Selepas Hamzah, MP Machang Wan Ahmad Fayhsal pula dipecat BERSATU

Oleh S.KUMARA

KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad yang sebelum ini telah digantung keahliannya dalam parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akhirnya dipecat pada Jumaat.


Lembaga Disiplin parti itu dalam kenyataan hari ini berkata, bekas Ketua Armada BERSATU itu dipecat keahliannya dalam parti kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU.


Notis pemecatan serta-merta bertarikh 13 Februari itu telah dikeluarkan dan ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Disiplin BERSATU, Datuk Mohd Radzi Manan.Dalam perkembangan sama BERSATU turut memecat beberapa lagi pemimpinnya hari ini yang dikaitkan dengan usaha menyingkirkan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yasin.


Antaranya, Ketua Bahagian BERSATU Padang Rengas yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan dan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.Fathul dan Azahari adalah antara 16 Ahli Parlimen BERSATU yang menyokong gesaan Naib Presiden parti, Datuk Seri Ronald Kiandee, supaya Muhyiddin berundur sebagai presiden dan digantikan oleh timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.


Turut dipecat hari ini ialah Setiausaha BERSATU Sabah, Yunus Nurdin, yang sebelum ini turut menggesa Muhyiddin letak jawatan.Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, hari ini memaklumkan keputusan pemecatan Hamzah yang juga ketua pembangkang, diputuskan Lembaga Disiplin seiring Fasal 22.5 perlembagaan parti.


\"(Pemecatan) berkuat kuasa mulai 13 Februari 2026 (hari ini) kerana tindakan beliau melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU,\" katanya dalam satu kenyataan hari ini. -Alaiolinews

Leave a Comment
Trending News