Alaioli
Salah guna PLS: JIM berkas 9,497 warga asing dari Jan hingga 9 Mac 2026


Oleh S.KUMARA 


PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memandang serius penglibatan segelintir warga asing yang dikesan menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) untuk masuk sebagai pelancong namun sebaliknya menjalankan aktiviti pekerjaan di premis seperti restoran atau kilang.


Ketua Pengarahnya Datuk Zakaria Shaaban berkata, statistik bagi tempoh 1 Januari hingga 9 Mac lalu menunjukkan seramai 9,497 warga asing telah ditangkap bagi kesalahan penyalahgunaan PLS.


Katanya, kesemua mereka diberkas menerusi 2,618 operasi yang telah dilaksanakan di seluruh negara sepanjang tempoh tersebut.


"Daripada jumlah tangkapan ini, seramai 1,158 individu ditahan bagi kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas. 


"Kebanyakan daripada mereka didapati menyalahgunakan kemudahan pas yang diberikan, khususnya melibatkan Pas Lawatan Kerja Sementara dan Pas Lawatan Sosial bagi tujuan menjalankan aktiviti yang tidak selaras dengan syarat pas yang dikeluarkan. 


"Lima warga tertinggi yang ditahan bagi kesalahan melanggar syarat pas adalah melibatkan warga Bangladesh seramai 532 orang, diikuti Thailand (248 orang), Indonesia (111 orang), China (86 orang) dan Pakistan (51 orang),\" katanya dalam  kenyataan media pada Khamis.


Tambah beliau, daripada 1,158 tangkapan terbabit, seramai 482 individu ditangkap atas kesalahan menyalahguna Pas Lawatan Sosial meliputi 235 orang warga Thailand, 83 orang warganegara Bangladesh, 62 orang warganegara China, 62 orang warga Indonesia, 13 orang warganegara Pakistan, dan 27 orang lain-lain warganegara.


Ujarnya lagi, siasatan awal mendapati sebahagian daripada mereka terlibat secara aktif dalam pengurusan dan pengendalian premis perniagaan tanpa kebenaran yang sah.


"Perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat-syarat pas yang telah ditetapkan.


"Jabatan Imigresen Malaysia menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dan tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana warga asing yang menyalahgunakan kemudahan imigresen negara.


"Individu yang didapati melanggar undang-undang imigresen boleh dikenakan tindakan termasuk penahanan, pendakwaan serta pengusiran dari Malaysia.


"JIM turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti warga asing yang menjalankan perniagaan secara tidak sah digalakkan untuk menyalurkan maklumat kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi membantu usaha penguatkuasaan yang lebih berkesan,\" tegas beliau lagi. - Alaiolinews

Leave a Comment
Trending News