Alaioli
Zinedine Zidane bakal kemudi skuad bolasepak kebangsaan Perancis

Oleh S.KUMARA 

PARIS - Legenda bola sepak Perancis, Zinedine Zidane, dilaporkan bakal mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Perancis selepas tamat Piala Dunia musim panas ini.


Laporan media luar negara menyebut bahawa, Zidane sudah mencapai persetujuan secara lisan dengan Persekutuan Bolasepak Perancis untuk menggantikan Didier Deschamps yang sudah mengendalikan pasukan sejak 2012 lagi.


Zidane yang kini berusia 53 tahun sebelum ini pernah mengendalikan kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, dalam dua tempoh berbeza dari 2016 hingga 2018 serta 2019 hingga 2021.

Beliau sememangnya sering dikaitkan sebagai calon utama untuk mengambil alih skuad Perancis sejak beberapa tahun yang lalu.


Sebagai pemain, Zidane adalah antara legenda terbaik dunia apabila memenangi Ballon d\'Or 1998 serta dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Dunia FIFA sebanyak tiga kali.


Beliau turut membantu Perancis menjuarai Piala Dunia 1998 selain muncul naib juara pada 2006.


Namun, final 2006 turut diingati dengan insiden kontroversi apabila Zidane dilayangkan kad merah selepas menanduk pemain Itali, Marco Materazzi.-Alaiolinews

Leave a Comment
Trending News