Alaioli
Guru rempuh pelajar hingga maut akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat - Polis Kelantan

By S.KUMARA

KOTA BHARU - Seorang guru wanita yang ditahan reman pada Isnin bagi membantu siasatan berhubung kes kejadian seorang pelajar Tingkatan Satu maut dirempuh sebuah kereta di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, di sini pada Ahad lalu akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.


Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat sambil mengesahkan perkara itu berkata, pendakwaan ke atas suspek akan dilakukan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


"Hari ini (Selasa) guru berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman selama dua hari.


"Dia akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat lagi," katanya selepas merasmikan Perhimpunan Bulan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.


Sebelum ini, media melaporkan guru yang dipercayai melanggar seorang pelajar Tingkatan Satu sehingga maut di hadapan surau SMK Tanjong Mas di sini pada Ahad direman selama dua hari.


Perintahan tahanan reman ke atas wanita berusia 57 tahun itu bermula pada Isnin dan dikeluarkan oleh Majistret Wan Mohd I\'zzat Wan Abdullah.


Tahanan reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Terdahulu guru berkenaan tiba di mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman pada jam 8.40 lagi.


Dia yang memakai baju lokap bewarna ungu tiba di mahkamah dengan menaiki trak Polis Diraja Malaysia (PDRM).- Alaiolinews

Leave a Comment
Trending News