Alaioli
29 pelajar rentas sempadan guna pangkalan haram di Sungai Golok ke sekolah berdepan pendakwaan

By S.KUMARA

KOTA BHARU - Seramai 29 daripada 34 pelajar yang ditahan merentas sempadan menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok, Rantau Panjang untuk ke sekolah pada Ahad lalu akan berdepan pendakwaan.


Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, lima daripada mereka tidak akan berdepan dakwaan kerana berusia di bawah 10 tahun.


"Selepas mengambil keterangan, kita bebaskan mereka (pelajar) dengan jaminan polis.


"Mereka belum bebas sepenuhnya, cuma belum dapat keputusan daripada pendakwa raya sama ada hendak tuduh atau pun tidak," katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa


Tambah beliau, tugas polis hanya membuat tangkapan dan melengkapkan siasatan sahaja.


Mohd Yusoff turut menjelaskan bahawa, selebihnya sama ada hendak dituduh atau pun tidak ia bergantung kepada pendakwa raya.


Kata beliau, siasatan lanjut belum siap sepenuhnya lagi di mana ia dalam proses melengkapkan kertas pendakwaan.


"Dulu asalnya 500 lebih pelajar rentas sempadan menggunakan pangkalan haram melibatkan kawasan di Rantau Panjang, Tumpat dan Jeli.


"Kemudian apabila sempadan ditutup pada 1 Disember 2024 hanya tinggal 300 lebih pelajar. Sekarang hanya ada 100 lebih pelajar yang lain sudah selesai," tegasnnya lagi. - Alaiolinews

Leave a Comment
Trending News