Alaioli
Datuk Dennis Lim Kwang Keng dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu

Oleh Ilamparithi

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Selasa mengumumkan pertukaran enam pegawai kanan polis yang berkuat kuasa pada 20 dan 22 Jun depan.


Ketua Komunikasi Korporat PDRM Asisten Komisioner Julina Salehuddin berkata, mendahului senarai pertukaran ialah Timbalan Pengarah Forensik/Perancangan Strategik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Dennis Lim Kwang Keng yang dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang dengan memangku pangkat Komisioner berkuat kuasa 20 Jun depan.


"Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dilantik sebagai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Terengganu.


"Manakala, Ketua JKDNKA Terengganu Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei mengisi jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan," katanya dalam kenyataan di Bukit Aman.


Selain itu, tambah beliau Ketua Polis Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Kedah Superintendan Syamsul Sinring dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kulim, Kedah.


Sementara itu, katanya, Ketua Bahagian Pengurusan, Langkawi, Kedah Deputi Superintendan Mohamad Sani Mat Ali mengisi jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Kedah dengan memangku pangkat Superintendan .


"Mengakhiri senarai pertukaran ialah Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Klang Selatan, Selangor Deputi Superintendan Ramzi Mahmudin yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Selama, Perak dengan memangku pangkat Superintendan," tegasnya. -Alaiolinews

Leave a Comment