Alaioli
PLUS jangka 2.2 juta kenderaan sehari sempena cuti persekolahan dan perayaan berganda

Oleh Ilamparithi

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan aliran trafik di seluruh rangkaian lebuh raya termasuk di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) meningkat hingga 2.2 juta kenderaan sehari sepanjang musim cuti pertengahan tahun persekolahan dan sambutan beberapa perayaan utama bermula esok hingga 7 Jun ini.

Peningkatan trafik itu dijangka berlaku susulan cuti berganda yang merangkumi sambutan Aidiladha, Wesak dan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh sama.

PLUS dalam kenyataan hari ini memaklumkan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pula dijangka menerima hingga 50,000 kenderaan sehari pada hari-hari puncak.

Menurut kenyataan itu, aliran trafik keluar dari Lembah Klang dijangka memuncak pada 22, 23, 26, 28, 29, 30 dan 31 Mei, manakala perjalanan pulang ke Lembah Klang dijangka tertumpu pada 4 hingga 7 Jun.

Sehubungan itu, pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal bagi mengurangkan risiko terperangkap dalam kesesakan, selain mengikuti jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA menerusi aplikasi PLUS.-Alaiolinews


Leave a Comment