Alaioli
G-Wagon Datuk, Vellfire bekas pemain Harimau Malaya disita JPJ

Oleh Ilamparithi

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah milik bekas pemain bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya menerusi Operasi Khas Kenderaan Mewah (Ops Luxury), awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Malaysia, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, sitaan itu dilaksanakan susulan tiga kesalahan yang dikesan ketika pemeriksaan.

Menurutnya, individu tersebut yang memandu MPV jenis Toyota Vellfire ditahan di kawasan Bukit Bintang kira-kira pukul 4 pagi.

“Pemeriksaan mendapati lesen kenderaan motor (LKM) dan perlindungan insurans kenderaan berkenaan telah tamat tempoh sejak Disember tahun lalu.

“Selain itu, lesen memandu individu itu juga didapati telah tamat tempoh,” katanya pada sidang akhbar di Depoh Sita JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Jazmanie menambah bahawa pihaknya turut mengambil tindakan sita ke atas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mercedes Benz Amg (Brabus G-Wagon) milik seorang pakar motivasi terkenal yang mempunyai gelaran Datuk.

Katanya, tindakan sita terhadap kenderaan terbabit diambil ekoran tiada insurans selain pemilik gagal memperbaharui LKM berjumlah RM3,221 sejak 4 Mei 2026.-Alaiolinews

Leave a Comment
Trending News