Alaioli
Raja Dadah Terbesar Mexico 'El Mencho' terbunuh

Oleh S.KUMARA

WASHINGTON - Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Ahad menggesa rakyatnya yang berada di Mexico supaya berhati-hati dan berselindung di lokasi masing-masing.


Langkah amaran itu menyusul berikutan tercetus keganasan, sekatan jalan raya dan pembatalan segala penerbangan selepas tentera Maxico telah membunuh seorang ketua kartel dadah utama negara tersebut.


Satu kenyataan Bahagian Hal Ehwal Konsular jabatan itu dalam platform media sosial X memaklumkan bahawa operasi keselamatan berskala besar sedang dijalankan di beberapa kawasan di Mexico ketika ini.


\"Susulan operasi keselamatan yang meluas serta sekatan jalan raya  dan aktiviti jenayah di banyak kawasan Mexico, rakyat AS dinasihatkan supaya berlindung di tempat masing-masing sehingga dimaklumkan kelak,\" kata kenyataan itu.


Jabatan itu turut menambah bahawa sekatan jalan raya berkenaan turut menjejaskan operasi syarikat penerbangan di Mexico dengan beberapa penerbangan domestik dan antarabangsa dibatalkan di Guadalajara dan Puerto Vallarta.


Dalam pada itu Tentera Mexico dalam satu kenyataan berasingan memaklumkan bahawa Nemesio Oseguera, 59 yang merupakan  Ketua Jalisco New Generation Cartel, tercedera dalam pertempuran dengan anggota keselamatan di bandar Tapalpa sebelum meninggal dunia ketika diterbangkan ke Mexico City.


Oseguera sebelum ini diburu dengan ganjaran AS berjumlah AS$15 juta.Sementara itu, kerajaan Kanada juga memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau rapat perkembangan berkenaan.Kanada turut menasihati  rakyatnya di Mexico supaya mengekalkan profil rendah serta mematuhi  arahan pihak berkuasa tempatan di Mexico.


Malah rakyat Kanada di Mexico khususnya di Michoacan, Guerrero dan Jalisco supaya berlindung di tempat masing-masing susulan laporan berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan serta letupan.-Alaiolinews

Leave a Comment
Trending News