Alaioli
pemandu salah tekan pedal minyak, kereta terjunam dalam longkang

Oleh Alaioli team

MELAKA – Seorang lelaki warga emas mengalami kecederaan di kepala selepas kereta yang dipandunya terjunam dan terbalik ke dalam longkang sedalam kira-kira tiga meter.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di kawasan parkir Taman Ayer Keroh Heights di sini pada Sabtu.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.25 pagi ketika mangsa berusia 66 tahun dipercayai tertekan pedal minyak ketika mahu memarkir kenderaan jenis Volkswagen Polo dipandunya.

"Kereta itu lalu terbabas dan merempuh tembok parkir.

"Akibat rempuhan itu, tembok berkenaan pecah sebelum kereta dipandu mangsa terjatuh dari ketinggian kira-kira lima hingga enam meter dari kawasan parkir sebelum terbalik ke dalam longkang," katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah beliau, bomba telah menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu menerusi talian MERS 999 pada pukul 9.25 pagi.

"Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian untuk tindakan sewajarnya sebelum mangsa dikeluarkan dan dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.-Alaiolinews

Leave a Comment