Alaioli
Pemain Ragbi SUKMA Pulau Pinang meninggal dunia semasa berlatih

By Alaioliteam

KULIM- Pemain ragbi Sukan Malaysia (SUKMA) Pulau Pinang meninggal dunia selepas jatuh dan tidak sedarkan diri ketika menjalani latihan bersama pasukannya di padang bola Batalion 2, Pasukan Gerakan Am (PGA), di sini semalam.

Muhammad Adam Putra Syahril, 21, disahkan meninggal dunia sebaik sampai di unit kecemasan Hospital Kulim dengan ambulans.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng, berkata kira-kira jam 5.30 petang semalam, ibu pemuda itu berusia 49 tahun dimaklumkan jurulatih ragbi bahawa anaknya rebah dan tidak sedarkan diri ketika menjalani latihan ragbi di lokasi kejadian.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa menaiki ambulans Kementerian Kesihatan KKM) ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan.

"Saksi sempat memberikan bantuan awal kepada mangsa, namun tiada respon dan saksi telah minta bantuan ambulans.

"Siasatan mendapati, lelaki itu tidak mempunyai sejarah penyakit sebelum ini dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk proses bedah siasat, " katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun pegawai perubatan KKM mengesahkan pemuda itu sudah meninggal dunia sebaik tiba di hospital.-Alaiolinews

Leave a Comment