Alaioli
PAS adakan mesyuarat tergempar di kediaman MB Terengganu, pimpinan enggan temui media

By Alaioliteam

KUALA TERENGGANU- Tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan pimpinan tertinggi PAS setakat ini yang dilaporkan mengadakan mesyuarat tergempar di Seri Setia di Pantai, Batu Burok, di sini hari ini.

Tinjauan di Seri Setia sejak jam 1.30 petang tadi mendapati beberapa kenderaan bercermin gelap dan motosikal berkuasa tinggi keluar masuk di kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu itu.

Petugas di kediaman itu yang enggan dikenali memberitahu ramai pemimpin PAS sedang bermesyuarat di kediaman berkenaan.

"Antara pemimpin PAS yang dikenalinya masuk ke dewan mesyuarat di kediaman itu kira-kira jam 11.30 pagi adalah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

"Menteri Besar negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut berada dalam dewan di kediaman berkenaan," tegasnya.

Bagaimanapun, tiada kelibat kenderaan rasmi dinaiki Presiden PAS, Tan Seri Abdul Hadi Awang masuk dan keluar daripada pekarangan Seri Setia.

Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan kenyataan daripada pimpinan PAS gagal selepas menunggu sehingga jam 5 petang.

Beberapa kenderaan mewah yang keluar daripada pekarangan Seri Setia juga tidak membuka tingkap walaupun menyedari kehadiran media.

Terdahulu, media melaporkan PAS mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan isu berkaitan Perikatan Nasional (PN) termasuk masa depan parti itu bersama rakan komponennya, BERSATU.

Jumaat lalu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dilaporkan berkata, PAS akan menilai semula kerjasama dengan BERSATU susulan beberapa tindakan parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu yang dilihat melanggar semangat setia kawan parti komponen PN.-Alaiolinews

Leave a Comment